Isnin, 26 Julai 2010

Usul Fiqh




                                                                                         

1. (a) Pengertian ilmu usul fiqh dan faedah-faedah mempelajarinya

Segi bahasa: Usul-berasal daripada perkataan aslu  (أصل)bermaksud:

i. Asas- Apa yang dibina sesuatu diatasnya – dalil dan keterangan.
ii. al-Dalil. Contohnya, dalil ijmak.
iii. al-Rajih. Iaitu yang lebih kuat dan tepat – dalil al-Quran lebih kuat daripada al-Qiyas.
iv. Kaedah. Contohnya, mengharuskan makan bangkai bagi orang terdesak.

Fiqh: Mengetahui tentang sesuatu/ memahami tentang sesuatu.

Pengertian istilah: Suatu ilmu yang membicarakan kaedah-kaedah yang dijadikan perantaraan untuk mengeluarkan hukum-hukum syarak yang praktikal dari dalil-dalil tafsili.

i. Ilmu: Bermaksud umum yang difahami sama ada secara tasawwur atau tasdik.

ii. Kaedah-kaedah (القواعد): Kata jamak dari kaedah yang bermaksud kaedah umum (Qadhiah Kulliah) yang dapat memahamkan hukum-hukum Fiqhiah (juz'iyah) yang terangkum di dalamnya:
contoh, kaedah 'Kullu Amr lil wujub', kaedah 'Kullu Nahyi Lil Tahrim'.

iii. Syarak: Bermaksud bagi mengeluarkan hukum-hukum yang selainnya seperti hukum akal.

iv. Praktikal: Bermaksud hukum amali fikah bukan hukum akidah.

Faedah mempelajari Ilmu Usul Fiqh:

·        Mengetahui cara dan bagaimana ulama dan mujtahid mengeluarkan dan menggunakan ilmu usul fikah dalam menetapkan hukum bagi sesuatu masalah.

·        Mengetahui cara-cara  bagaimana ulama menetapkan sesuatu hukum serta mengetahui kaedah-kaedah mengeluarkan hukum dan menetapkan hukum bagi sesuatu hukum berdasarkan dalil syarak.

·        Mengeluarkan hukum baru yang sentiasa berubah-ubah ikut perkembangan zaman dan keperluan masyarakat.

·        Mengetahui asas-asas bagi hukum syarak dan hikmatnya.

·        Mengetahui cara mengeluarkan hukum daripada dalil sehingga dapat menentukan perbuatan mukallaf.

·        Mengetahui hukum syarak yang telah dikeluarkan oleh para mujtahid melalui kaedah usul dan dipadukan pendapat ulama yang berselisih di antara mereka untuk mencari yang kukuh oleh pendapat yang bergantung dalil yang kuat untuk beramal dengan hukumnya.

·        Ulama yang bertugas mengeluarkan hukum atau fatwa menjadi mudah mengeluarkan hukum kerana mempunyai landasan dan panduan.



(b) kaedah penyusunan ilmu usul fiqh yang berlaku selepas Imam syafi'i.

1.   Ulama Kalam
·         berdasarkan nas-nas atau menetapkan kaedah yang disokong oleh dalil.

·         mereka meninggalkan kaedah yang bertentangan dengan dalil tanpa mengira keselarasan kaedah yang mereka ambil dengan masalah fiqh yang diambil daripada imam mereka.

·          Ulamak kalam dan pengikut al-Syafi’i tidak menyatakan dalam kitab usul fiqh mereka tentang masalah fiqh yang termasuk dalam kaedah kecuali hanya untuk memberi penjelasan. Contoh tentang kehujahan ijmak sukuti. Al-Amidi yang bermazhab Syafi’i  dalam bukunya al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam mengatakan ijmak sukuti boleh dijadikan hujah sedangkan imam syafi’i sebaliknya.

·         Mengemaskini kaedah yang dikukuhkan dengan dalil mantiq atau logik akal.

·         kitab :
-Al-Burhan : karangan imam Al-Haramain Abdul Malik bin Abdullah Al-Juwaini ( As-Syafi’i )
-Al-Mustaffa: karangan imam Al-Ghazali ( As-Syafi’i)
-Al –Mahsul : karangan Fahrudin Muhammad bin Umar al-Razi  

2.   Ulama Hanafi
·        Beri perhatian yang mendalam kepada masalah-masalah fikah yang telah sedia ada dalam mazhab Hanafi.

·        Sesuatu kaedah usul fikah disesuaikan dengan hukum-hukum fikah yang terlibat.

·        Andainya ada sesetengah masalah fikah tidak  termasuk dalam kaedah ini maka kaedah itu diubahsuaikan hingga selaras dengan masalah fikah yang dianggap terlibat.

·        Kumpulan ini memahami bahawa kaedah ini juga berpandukan furu’ yang diambil daripada imam mereka.

·        Kaedah-kaedah tersebut mencakupi semua furu’.
·        Kitab:
- Al-Usul : karangan Abu Bakar Ahmad bin Ali al-Jassas
      - Al-Usul : karangan Abu Zahid Abdullah bin Umar al-Dabusi
- Al-Usul : karangan Fakhrul Al-Islami Ali bin Muhammad Al-Bazdawi

3.   Ulama Mutakhir
·        Mengabungkan cara penyusunan yang dilakukan oleh ulama Kalam dan pengikut Al-Syafi’i serta Hanafi iaitu dengan menetapkan kaedah usul dan membawa dalil serta dicantumkan kaedah-kaedah usul terhadap masalah fikah atau dikaitkan dengan masalah tersebut.

·        kitab:
- Jam’al Jawami’ : karangan Tajudin Abdul Al-Wahab bin Ali Al-Subki Al-Syafi’i
- Musallam al-thubut : karangan Muhibb al-Din Abd Al-Syakur








2. (a)    Sejarah dan perkembangan ilmu usul fiqh.     

i.     Wahyu merupakan asas atau sumber perundangan Islam semasa hayat Rasulullah s.a.w sama ada wahyu al-Quran atau al-Sunnah. Para sahabat semasa hayat Rasulullah s.a.w tidak perlu berijtihad mengeluarkan hukum Islam dari al-Quran kerana mudah mendapatkannya dari baginda.

ii.    Sahabat yang berada di tempat yang jauh terpaksa berijtihad sendiri bagi mengatasi perkara-perkara yang berlaku semasa itu dan ianya tidak terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Contohnya Muaz bin Jabal yang bertugas di Yaman, setelah ditemuduga oleh Rasulullah mengatakan ia akan menghukum mengikut al-Quran dan al-Sunnah dan jika tidak dapat menyelesaikanya beliau akan menggunakan ijtihadnya sendiri.

iii.   Di zaman para imam mujtahidin telah muncul dengan banyaknya aliran pengajian Fikah. Perselisihan tentang masalah Fikah berlaku dengan hebat.

iv.   Empayar kerajaan Islam sudah meluas dan berkembang ke pelusuk dunia sehingga sampai ke negara-negara yang tidak menggunakan bahasa Arab dan penduduknya telah memeluk Islam. Timbul masalah untuk memahami gaya bahasa  Arab dan timbul kesalahan memahami uslub al-Quran dan al-Sunnah serta kesamaran memahami makna-makna keduanya. Keadaan ini mendesak untuk di susun kaedah-kaedah bahasa Arab untuk memudahkan memahami syariat Islam – Kaedah usul Fiqh.

v.   Jarak masa yang lama antara tabi' tabi'in dengan masa Rasulullah s.a.w. menyebabkan mujtahid pada masa ini tidak semudahnya mengetahui tujuan-tujuan syariat, 'illah-'illah  dan hikmah-hikmah lalu ditafsir mengikut kehendak  sendiri oleh orang yang bukan ahlinya. Timbul kumpulan yang ingkar dengan dalil al-Sunnah, kumpulan lain enggan berdalil dengan hadis Ahad dan adfa yang berhujah dengan istihsan. Semua ini memerlukan kaedah-kaedah yang mana setiap yang ingin terlibat dalam ijtihad terikat dengan perkara di atas dan berlandas kepadanya. 


(b)   bidang perbahasan ilmu usul fiqh.  

i.     Menganalisa cara-cara mengeluarkan hukum syarak.

ii.    Membicara dan membahaskan tentang kaedah-kaedah hukum syarak yang umum.

iii. Mengistinbat atau mengeluarkan hukum daripada dalil-dalil dan nas-nas serta beramal dengannya.
   


3. (a) as-sunnah dari sudut pengertian dan jenis-jenisnya


Pengertian: Bahasa: Kelakuan, perjalanan dan adat

Istilah: Perkara yang terbit daripada Rasulullah s.a.w sama ada perkataan, perbuatan atau pengakuan.
Jenis: Sunnah qauliyyah, fe'liyyah dan taqririyyah dan hamiyyah.

i. As-Sunnah Qauliyyah : Perkataan Nabi s.a.w yang diperkatakan pada masa tertentu atau mengambil sesuatu sempena dan munasabah/ bentuk suruhan, penerangan atau tegahan.Contoh suruhan baginda tentang niat: إنما الأعمال بالنيات

ii. As-Sunnah Fe'liyyah : Perbuatan Nabi s.a w yang menjelaskan hokum syarak, menjadi panduan manusia dalam urusan agama/ segala perbuatan, tingkah laku dan gerak laku baginda yang menegakkan hukum. Contoh suruhan ibadat sembahyang :صلوا كما رأيتمونى أصلى

iii. As-Sunnah Taqririyyah: Nabi s.a.w diam apabila baginda melihat atau mengetahui suatu kejadian, baginda tidak menyuruh atau tidak menegah perkara tersebut. Contoh Khalid Al-Walid makan daging Dhab panggang di hadapan baginda, baginda tidak makan dan tidak menegah Khalid. Ini menunjukkan Dhab boleh dimakan.

iv.  As-sunnah Hamiyyah: cita-cita Nabi untuk mengerjakan sesuatu tetapi belum sempat baginda menunaikannya baginda wafat. Contohnya seseorang memberitahu Nabi mengenai puasa 10 muharam yang diagungkan Yahudi. Nabi bersabda : jika baginda hidup tahun hadapan baginda akan berpuasa pada 9 dan 10 muharam.

(b)  bahagian-bahagian perbuatan nabi dan peranan as-sunnah terhadap al-Quran.
   
Bahagian perbuatan Nabi s.a.w:
i. Perbuatan semula jadi manusia seperti makan, minum, duduk, tidur, berjalan. Hukumnya harus diikuti umatnya.
ii. Perbuatan khusus bagi baginda sahaja seperti kahwin lebih daripada empat dalam satu masa. Hukum sunnah ini haram diikuti umatnya.
iii. Perbuatan baginda yang menjelaskan lebih lanjut hukum-hukum yang terkandung dalam al-Quran. Contoh sembahyang lima waktu. 

Peranan as-Sunnah terhadap al-Quran:
i. al-Sunnah merupakanpenyokong/penguat hukum di dalam al-Quran. Contoh: Tentang hukum haram  membunuh, menderhaka kepada ibu bapa, wajib sembahyang.

ii. al-Sunnah sebagai penjelas al-Quran yang umum dan mujmal. Contoh: Tentang ibadat haji.-
خذوا عنى مناسككم

iii. as-sunnah mengkhususkan hukum umum daripada al-Quran. Contoh,firman Allah:
يوصيكم الله فى أولدكم
Ayat di atas mengandungi lafaz umum yang meliputi semua anak tanpa mengira pembunuh atau tidak. Hadis mengkhususkan : القاتل لا يرث

iv. al-Sunnah memuqayyadkan hukum al-Quran yang mutlak. Contoh
والسارق والسارقة فاقطعوا أيديهما
Lafaz pencuri di atas bersifat mutlak, as-Sunnah memuqayyadkannya:
إقطعوا فى ربع دينار ولا تقطعوا فيما هو أدنى من ذلك

v. al-Sunnah pembawa hukum baru yang tidak dinyatakan di dalam al-Quran. Contohnya haram menghimpunkan seseorang dengan emak saudaranya sebagai isteri dalam satu masa.



(c) hadis mutawatir dari sudut pengertian, martabat dan bahagian.

Pengertian hadis mutawatir : Hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah oleh sekumpulan ramai yang mengikut kebiasaannya mustahil mereka bersepakat memalsukannya sama ada dalam peringkat sahabat, tabiin atau tabiu’ttabiin. Meriwayatkan dengan jalan hissi (nyata) seperti sekumpulan sahabat meriwayatkan pula hadis itu kepada sekumpulan mutawatir daripada tabiut’ tabiin, begitulah seterusnya hingga sampai kepada pengumpul hadis Imam Bukhari, Muslim dan sebagainya.
Martabat hadis mutawatir ialah berdasarkan pendapat jumhur ulamak bahawa hadis mutawatir memahamkan hukum pasti, wajib diamalkan dan orang yang mengingkari dihukumkan murtad.

Hadis mutawatir terbahagi kepada dua bahagian :

Hadis mutawatir lafzi iaitu hadis yang serupa makna dan perkataan. Diriwayatkan oleh sekumpulan mutawatir seperti hadis:

Hadis mutawatir maknawi iaitu hadis yang serupa makna tetapi berlainan perkataan. Diriwayatkan oleh sekumpulan mutawatir seperti hadis yang menerangkan cara membaca doa dengan mengangkat kedua belah tangan.

(d)Nyatakan ciri-ciri hadis Ahad dan syarat-syarat beramal dengannya.

Ciri-ciri hadis Ahad:
1.   Mempunyai jalan-jalan riwayat yang berbahagi hingga sampai kepada Rasulullah.

2.   Sanadnya tidak sampai tahap mutawatir.

3..  Sanadnya diriwayatkan melalui pelbagai peringkat rawi, ada rawi yang thiqah, rawi yang kurang thiqah dan ada yang rawinya diterima dengan syarat-syarat tertentu serta ada rawinya yang ditolak riwayatnya.

4..  Jumlah rawinya tidak mencapai jumlah rawi hadis mutawatir.

5.   Jalan-jalan riwayatnya adalah terbatas. Hadis Ahad melalui proses periwayatan yang terhad dengan bilangan sanadnya yang sedikit.

6.   Jika  disesetengah tabaqah sampai ke bilangan mutawatir dan sesetengahnya tidak.

Syarat beramal dengan hadis Ahad:
1.   Di kalangan para sahabat:
Para sahabat tidak menerima hadis ahad kecuali setelah mereka yakin dan percaya bahawa ia adalah  benar-benar lahir dari Rasulullah dan mereka mempunyai cara-cara yang berlainan untuk memastikan hadis ahad itu benar-benar dari Rasulullah.

2.   Dikalangan Imam-Imam Mazhab Fiqah:
Mereka sepakat mengatakan bahawa hadis ahad adalah hujah wajib beramal dengannya. Tetapi Saindina Abu Bakar As- Siddiq dan Umar tidak menerima kecuali apabila menyaksikan dua orang yang kedua-duanya mendengar dari Rasulullah S.A.W.

3.   Di kalangan ulamak Hanafi:
Terbahagi kepada dua iaitu:
Pendapat pertama:
Disyaratkan bagi penerimaan hadis ahad bahawa adalah sanadnya itu sah dan di riwayatkan oleh perawi-perawi yang adil dan bersambung-sambung sehingga sampai kepada Rasulullah S.A.W.
Pendapat kedua:
Mensyaratkan bagi penerimaan hadis ahad adalah sanad-sanadnya itu sahih dan beberapa syarat lain.

3 ulasan:

kasih berkata...

Assalamualaikum...Ustaz..
saya adalah calon persendirian STPM 2012 & mengambil subjek usuluddin & syariah....
bolehkah Ustaz bg senarai buku2 rujukan yg mudah di baca & senang difaham... terima kasih...

yussuf berkata...

bermanfaat...izinkan saya share ilmu ini..jzk

Peter parker berkata...

Is BCN (Bytecoin) Available to trade or store in Gdax?
Users if you are facing BCN (Bytecoin Coin) Available to trade or store in Gdax than, you can always take assistance from the ones who have got a hand in this field and can fix any type of query in the most precise way and even in the minimal time. They have a team of adroit and skilled professionals who work 24/7 to provide hassle-free services. You can approach them via Gdax Support Number . The experts give you appropriate options to get rid of all the Gdax troubles.
Gdax Customer Support Number
Gdax Phone Number
For more info: https://www.cryptophonesupport.com/wallet/gdax/

Catat Ulasan